Sunday, 7 April 2013

Kisah teladan - Kisah Orang Bersyukur dan Orang Tidak Tahu Bersyukur



Nabi Musa AS memiliki umat yang jumlahnya sangat banyak dan umur mereka panjang-panjang. Ada golongan yang kaya dan ada juga golongan yang miskin. Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa AS. Ia kelihatan begitu miskin, pakaiannya compang-camping dan sangat lusuh berdebu. Si miskin itu kemudian berkata kepada Baginda Musa AS, “Ya Nabi Allah, tolong sampaikan kepada Allah S.W.T permohonanku ini agar Allah S.W.T menjadikan aku orang yang kaya.”

Nabi Musa AS tersenyum dan berkata kepada orang itu, “Saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah S.W.T.

Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata, ” Bagaimana aku mahu banyak bersyukur, sedangkan aku jarang dapat makan, dan pakaian yang aku gunakan pun hanya satu pasang ini saja! “.

Akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang diinginkannya. Tidak lama kemudian ada seorang kaya datang menghadap Nabi Musa AS. Orang tersebut bersih badannya juga rapi pakaiannya.

Ia berkata kepada Nabi Musa AS, “Wahai Nabi Allah, tolong sampaikan kepada Allah S.W.T permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang yang miskin, kadang kala aku merasa terganggu dengan hartaku itu.”

Nabi Musa AS pun tersenyum, lalu ia berkata, “Wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah S.W.T.”

“Ya Nabi Allah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Alah S.W.T?. Allah S.W.T telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat. Telinga yang dengannya aku dapat mendengar. Allah S.W.T telah memberiku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya,” jawab si kaya itu.

Akhirnya si kaya itu pun pulang ke rumahnya. Kemudian terjadi adalah si kaya itu semakin Allah S.W.T tambah kekayaannya kerana ia selalu bersyukur. Dan si miskin menjadi bertambah miskin. Allah S.W.T mengambil semua kenikmatan-Nya sehingga si miskin itu tidak memiliki selembar pakaian pun yang melekat di tubuhnya. Ini semua kerana ia tidak mahu bersyukur kepada Allah S.W.T

Bila menyebut mengenai kesyukuran, tentu kita teringat tentang firman Allah S.W.T di dalam sebuah Hadis Qudsi yang menyebut mengenai sifat syukur, iaitu: “Kalau Aku uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar, dan kalau Aku uji kamu dengan nikmat, kamu tidak mahu bersyukur, maka nyahlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan pergilah cari Tuhan yang lain.”

Kesimpulannya, manusia diuji dengan ujian kesusahan ataupun ujian nikmat yang silih berganti datangnya serta dituntut supaya bersabar dalam menerima kesusahan serta bersyukur dalam menerima nikmat. Sama ada ia ujian kesusahan atau ujian nikmati, hati kita perlu menerimanya dengan betul, iaitu bersabar apabila menerima kesusahan dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat.

Kalau kita kaya contohnya, kekayaan itu perlu digunakan ke jalan Allah untuk membantu fakir miskin, untuk jihad fisabilillah dan untuk kemaslahatan(kepentingan) umat Islam keseluruhannya. Begitulah juga dengan segala bentuk nikmat Allah yang lain. Semuanya perlu dimanfaatkan ke jalan Allah untuk mendapat keredhaan-Nya.

Firman Allah : Maksudnya: “Kalau kamu bersyukur atas nikmat-nikmat-Ku, Aku akan tambah lagi nikmat-nikmat-Ku. Tetapi kalau kamu kufur nikmat, ingatlah sesungguhnya siksa-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim: 7)
Oleh itu, kita dapati dalam bersyukur itu ada tugas, ada kerja dan ada tanggungjawabnya iaitu kita terpaksa mengguna dan mengorbankan segala nikmat yang Allah kurniakan itu ke jalan Allah. Nikmat Allah itu perlu ditadbir, diurus dan digunakan pada jalan yang betul. Amat mudah bagi manusia lupa diri dan menggunakan nikmat Allah itu kepada jalan yang sia-sia atau lebih berat lagi kepada jalan maksiat. Kalau ini berlaku maka nikmat itu akan bertukar menjadi bala dan mendapat laknat daripada Allah.

Dalam bersabar, kita tidak ada kerja atau tanggungjawab tambahan selain dari menahan perasaan. Tidak ada bahaya menyalahgunakan nikmat kurniaan Tuhan. Apa yang perlu hanyalah menjaga dan mendidik hati supaya dapat menerima ketentuan Allah itu dan berbaik sangka dengan-Nya.

Barulah kita faham kenapa Allah berfirman bahawa sedikit sekali hamba-hamba-Nya yang bersyukur kerana bersyukur itu sendiri bukanlah suatu perkara yang mudah.

Bersyukur itu rupanya lebih berat dari bersabar.
Allah ada berfirman di dalam Al Quran: “Sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah As-Saba’: 13)



0 comments:

Post a Comment